Sebarang pertanyaan lanjut sila hubungi saya di laman facebook 'Hafiz Aiman' atau cari 'hafizaiman95'. Kadangkala saya tidak mengemaskini blog dalam jangka masa yang lama.

Sunday, June 19, 2016

Bawalah Pelajar Sekolah Melawat Universiti

Assalamualaikum semua.. Selamat berpuasa kepada semua yang beragama Islam. Mudah-mudahan ramadhan pada kali ini kita mendapat banyak kebaikan dan keberkatan dan mudah-mudahan juga kita dapat berjumpa dengan Malam Lailatul-Qadar. Ok hari ini saya nak cerita sikit tentang pelajar sekolah dan universiti.

     Seperti yang kita semua sedia maklum, universiti merupakan satu tempat di mana para pelajar sekolah menyambung pengajian mereka. Tempat pelajar meneruskan pengajian di bidang yang mereka minati dan ingin pelajari. Tempat pelajar memperoleh pengalaman baru. Harapannya agar keluar daripada universiti mereka akan menjadi insan yang mampu berbakti kepada keluarga. Saya tidak ingin bercerita tentang kerjaya tetapi saya ingin bercerita mengenai universiti. 

 Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.

     Universiti di Malaysia sangat banyak. Antara universiti yang popular ialah Universiti Teknologi Mara (UITM, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan beberapa lagi universiti kalau nak disebut memang panjang penulisan pada kali ini. Jika di sekolah, kita pelajari Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik dan sebagainya. Tetapi di universiti kita akan pelajari bidang yang kita minat. Kalau minat psikologi, kita akan belajar perkara berkaitan psikologi.

     Sepanjang setahun saya berada di UKM, saya sudah selesai menjalankan tiga buah program motivasi. Antaranya ialah Selangkah Menara Gading (SEMEGA'16) yang melibatkan SMK Dato' Mohd Yunos Sulaiman di Pontian Johor, SMK Munshi Abdullah di Melaka, SMK Teluk Panglima Garang di Selangor, dan SMK Abdul Rahman Talib di Pahang. Mereka ini terdiri daripada pelajar STPM atau lebih dikenali sebagai pelajar Tingkatan Enam. Mereka adalah antara pelajar yang perlu dibawa melawat ke universiti kerana selepas pengajian mereka di Tingkatan Enam, mereka akan melanjutkan pengajian di peringkat sarjanamuda di mana-mana universiti.

 Kumpulan 6 SEMEGA'16 UKM

     Program seterusnya ialah Jelajah Kampus Permata Jauhar siri 1 yang melibatkan pelajar STPM SMK Pasir Gudang 2, Johor. Sekolah ini merupakan sekolah saya dan saya sangat seronok dapat kembali berjumpa dengan guru-guru saya. Memandangkan mereka juga pelajar STPM maka mereka juga merupakan sasaran utama yang perlu melawat universiti. Mereka juga dibawa melawat Jabatan Perdana Menteri (JPM) agar mereka lebih faham apa yang mereka pelajari di sekolah.

Jelajah Kampus Permata jauhar SMK Pasir Gudang 2, Johor

     Program terakhir setakat ini ialah Jelajah Kampus Permata jauhar diri 2 yang melibatkan SK Lanchang, Pahang yang melibatkan pelajar Tahun 5 dan Tahun 6. Meskipun mereka masih jauh dalam perjalanan mereka untuk melanjutkan pengajian di universiti, tetapi mereka juga perlu untuk merasai pengalaman berada di universiti agar mereka akan berasa lebih bersemangat untuk meneruskan pelajaran mereka. Maklumlah budak sekolah rendah lebih gemar bermain daripada belajar. Oleh itu nak bangkitkan semangat belajar mereka, bawalah ke universiti.

Jelajah kampus Permata Jauhar SK Lanchang, Pahang

     Saya akan terus melibatkan diri dalam program-program sebegini kerana saya suka melihat wajah-wajah pelajar cemerlang yang akan menjejakkan kaki ke universiti. Mereka perlu dibawa ke universiti agar mereka dapat merasai sendiri bagaimana pengalaman hidup di universiti agar dapat menarik minat mereka untuk belajar dengan lebih tekun. Zaman universiti merupakan satu zaman yang sangat indah dan para pelajar perlu untuk merasai pengalaman itu. Pengalaman itu tidak dapat dibeli dengan nilai wang ringgit. 

     Oleh itu, pihak sekolah bolehlah menjadikan lawatan ke universiti sebagai salah satu acara tahunan pelajar. Lazimnya pihak sekolah mengadakan lawatan sambil belajar. Lawatan ke universiti juga sebenarnya program yang bagus untuk dilakukan. Bawalah pelajar merasai sendiri menginap di kolej kediaman universiti, merasai pengalaman berada dalam dewan kuliah universiti, melihat sendiri keindahan yang ada di universiti. Sekali gus dapat menaikkan motivasi mereka untuk lebih berusaha mencapai kecemerlangan.



     Baiklah itu sahaja coretan ringkas saya pada kali ini. Saya sebenarnya tak tahu nak tulis apa. Selamat berpuasa kepada semua. InshaaAllah jika ada cerita yang menarik atau pendapat yang saya ingin saya kongsi, saya akan kongsikan.

Tuesday, June 07, 2016

Kepuasan Dalam Diri Saya yang Sangat Berharga

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Kita sebagai seorang manusia, sudah pasti kita ingin mencapai sesuatu kepuasan dalam diri kita. Maksudnya di sini ialah dalam apa jua yang kita lakukan, kita pasti ingin mencapai sesuatu yang kita inginkan berdasarkan apa yang kita lakukan berulang kali.

     Mungkin anda semua keliru. Takpa.. Saya bagi contoh mudah, sebagai mahasiswa di universiti sudah tentu kita sibuk dengan berbagai-bagai aktiviti di luar dewan kuliah seperti program-program anjuran fakulti, kolej kediaman dan persatuan. Antara objektif utama mahasiswa menyertai pelbagai jenis aktiviti di universiti adalah seperti ingin meningkatkan ‘softskill’, ingin mendapatkan pengalaman baru, dan ada juga yang ingin kekal berada di kolej kediaman. Ini antara objektif utama mahasiswa.



     Dalam setiap objektif itu, kita sebagai manusia pasti ada satu kepuasan yang ingin mereka capai berdasarkan apa yang mereka lakukan. Kadang-kadang kita terfikir, kenapa individu A suka menjalankan program bersifat kesukarelawan, kenapa individu B suka menjalankan program bersifat kesukanan, mengapa individu C suka menjalankan program bersifat kemotivasian. Saya yakin dan pasti pembaca blog ini pasti mempunyai sesuatu kepuasan yang ingin anda semua capai. Malah dalam kerjaya pun ada sesuatu yang ingin dicapai. Seperti kenaikan pangkat menjadi pengurus ke, mendapat gaji mencecah 5k ke, dan berbagai-bagai lagi.

     Sebenarnya bukan saya nak cerita pasal kepuasan diri seseorang. Tetapi saya nak cerita mengenai kepuasan diri saya sendiri sebagai seorang mahasiswa. Dahulu, saya selalu tertanya-tanya pada diri saya apa sebenarnya yang saya inginkan dalam hidup saya. Saya selalu tertanya-tanya dalam apa jua yang saya lakukan apa yang saya inginkan sebenarnya. Dahulu saya menjadi seorang pengawas, menjadi seorang perwakilan pelajar Pra Universiti, menyertai program itu program ini tetapi saya sendiri tak pasti apa benda yang saya nak capai.

     Namun begitu, setelah saya menjadi mahasiswa di Universiti Kebangsaan Malaysia, saya sudah jumpa apa yang membuatkan saya puas. Jika dahulu saya menjadi pengawas, tetapi saya stress kerana menjadi seorang pengawas hanya untuk mendapatkan markah kokurikulum yang tinggi, saya menyertai pelbagai program pun hanya sebab nak dapatkan pengalaman atau lebih kepada ikut-ikut kawan. Kini, ada satu program atau aktiviti yang membuatkan saya berasa puas dan akan terus melakukan program yang sama di masa akan datang dan akan terus berkecimpung dalam program yang sama dan akan menjadikan ia sebagai satu kerjaya masa depan.

 Jelajah Kampus Permata Jauhar SK Lanchang, Temerloh, Pahang.

     YA! Program motivasi pelajar. Kenapa saya suka menjalankan program ini? Apa kepuasan yang saya dapat hinggakan saya ingin terus berkecimpung dalam program seperti ini? Apa dia? Mungkin orang akan bertanya soalan-soalan seperti ini.

     Jawapannya mudah sahaja. Jawapannya ialah berbalik kepada diri saya sendiri. Saya suka berjumpa dengan para pelajar. Saya suka bersama dengan para pelajar. Saya suka memberikan sesuatu yang dapat memberi impak kepada para pelajar. Saya suka berkongsi pengalaman kepada para pelajar. Dan apabila selesai program bersama pelajar, saya akan merasa sesuatu kepuasan yang saya sendiri tidak dapat gambarkan dengan kata-kata. Kiranya kepuasan macam kita dapat pakai kereta BMW secara percuma. 

     Saya sudah berprogram dengan pelajar sekolah rendah dan pelajar Pra Universiti. Cuma saya belum berkesempatan untuk menjalankan program bersama pelajar sekolah menengah. Mungkin pada masa akan datang saya akan bersama dengan pelajar sekolah menengah pula. Pengalaman mengendalikan pelajar sekolah rendah dan Pra Universiti memang tidak dinafikan jauh perbezaannya. Cabarannya juga berbeza. Tetapi jika kita minat, walau apa jua keadaan sekalipun ia tetap akan mematahkan semangat kita.

 Jelajah Kampus Permata Jauhar Pra U SMK Pasir Gudang 2, Johor.

     Oleh itu, kita sebagai seorang manusia perlu mencari apa yang membuatkan diri kita puas dalam menjalankan sesuatu perkara. Daripada situ kita akan jumpa kebolehan diri kita. Kadangkala kita selalu tertanya-tanya apa kebolehan diri kita. Maka, cara untuk kita kenal dan cipta kebolehan diri kita ialah menerusi program yang yang kita jalankan ataupun sertai.

     Ada orang mendapat kepuasan bukan daripada program atau aktiviti. Ada orang masuk debat dia puas, ada orang masuk pidato dia puas, ada orang berasa puas dapat membaiki kenderaan. Banyak cara sebenarnya untuk kita mendapatkan kepuasan dalam diri kita. Cuma kita mahu atau tidak mahu sahaja mencari kepuasan itu. Dan jika kita malas, maka sia-sialah kehidupan kita di muka bumi ini. Percayalah, apabila kita berasa puas dalam perkara yang kita lakukan, kita mungkin akan jadikan perkara yang buat kita puas itu sebagai kerjaya masa hadapan kita. 

     Akhir kata, terokailah pelbagai benda yang boleh kita ceburi sebagai manusia. Apabila kita banyak meneroka, kita akan jumpa satu benda yang akan membuatkan kita puas. Dan kepuasan itu sukar untuk kita jelaskan dengan kata-kata. Carilah kepuasan diri anda. Manisnya kepuasan itu anda sendiri yang akan rasa.