Sebarang pertanyaan lanjut sila hubungi saya di laman facebook 'Hafiz Aiman' atau cari 'hafizaiman95'. Kadangkala saya tidak mengemaskini blog dalam jangka masa yang lama.

Sunday, June 19, 2016

Bawalah Pelajar Sekolah Melawat Universiti

Assalamualaikum semua.. Selamat berpuasa kepada semua yang beragama Islam. Mudah-mudahan ramadhan pada kali ini kita mendapat banyak kebaikan dan keberkatan dan mudah-mudahan juga kita dapat berjumpa dengan Malam Lailatul-Qadar. Ok hari ini saya nak cerita sikit tentang pelajar sekolah dan universiti.

     Seperti yang kita semua sedia maklum, universiti merupakan satu tempat di mana para pelajar sekolah menyambung pengajian mereka. Tempat pelajar meneruskan pengajian di bidang yang mereka minati dan ingin pelajari. Tempat pelajar memperoleh pengalaman baru. Harapannya agar keluar daripada universiti mereka akan menjadi insan yang mampu berbakti kepada keluarga. Saya tidak ingin bercerita tentang kerjaya tetapi saya ingin bercerita mengenai universiti. 

 Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.

     Universiti di Malaysia sangat banyak. Antara universiti yang popular ialah Universiti Teknologi Mara (UITM, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan beberapa lagi universiti kalau nak disebut memang panjang penulisan pada kali ini. Jika di sekolah, kita pelajari Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik dan sebagainya. Tetapi di universiti kita akan pelajari bidang yang kita minat. Kalau minat psikologi, kita akan belajar perkara berkaitan psikologi.

     Sepanjang setahun saya berada di UKM, saya sudah selesai menjalankan tiga buah program motivasi. Antaranya ialah Selangkah Menara Gading (SEMEGA'16) yang melibatkan SMK Dato' Mohd Yunos Sulaiman di Pontian Johor, SMK Munshi Abdullah di Melaka, SMK Teluk Panglima Garang di Selangor, dan SMK Abdul Rahman Talib di Pahang. Mereka ini terdiri daripada pelajar STPM atau lebih dikenali sebagai pelajar Tingkatan Enam. Mereka adalah antara pelajar yang perlu dibawa melawat ke universiti kerana selepas pengajian mereka di Tingkatan Enam, mereka akan melanjutkan pengajian di peringkat sarjanamuda di mana-mana universiti.

 Kumpulan 6 SEMEGA'16 UKM

     Program seterusnya ialah Jelajah Kampus Permata Jauhar siri 1 yang melibatkan pelajar STPM SMK Pasir Gudang 2, Johor. Sekolah ini merupakan sekolah saya dan saya sangat seronok dapat kembali berjumpa dengan guru-guru saya. Memandangkan mereka juga pelajar STPM maka mereka juga merupakan sasaran utama yang perlu melawat universiti. Mereka juga dibawa melawat Jabatan Perdana Menteri (JPM) agar mereka lebih faham apa yang mereka pelajari di sekolah.

Jelajah Kampus Permata jauhar SMK Pasir Gudang 2, Johor

     Program terakhir setakat ini ialah Jelajah Kampus Permata jauhar diri 2 yang melibatkan SK Lanchang, Pahang yang melibatkan pelajar Tahun 5 dan Tahun 6. Meskipun mereka masih jauh dalam perjalanan mereka untuk melanjutkan pengajian di universiti, tetapi mereka juga perlu untuk merasai pengalaman berada di universiti agar mereka akan berasa lebih bersemangat untuk meneruskan pelajaran mereka. Maklumlah budak sekolah rendah lebih gemar bermain daripada belajar. Oleh itu nak bangkitkan semangat belajar mereka, bawalah ke universiti.

Jelajah kampus Permata Jauhar SK Lanchang, Pahang

     Saya akan terus melibatkan diri dalam program-program sebegini kerana saya suka melihat wajah-wajah pelajar cemerlang yang akan menjejakkan kaki ke universiti. Mereka perlu dibawa ke universiti agar mereka dapat merasai sendiri bagaimana pengalaman hidup di universiti agar dapat menarik minat mereka untuk belajar dengan lebih tekun. Zaman universiti merupakan satu zaman yang sangat indah dan para pelajar perlu untuk merasai pengalaman itu. Pengalaman itu tidak dapat dibeli dengan nilai wang ringgit. 

     Oleh itu, pihak sekolah bolehlah menjadikan lawatan ke universiti sebagai salah satu acara tahunan pelajar. Lazimnya pihak sekolah mengadakan lawatan sambil belajar. Lawatan ke universiti juga sebenarnya program yang bagus untuk dilakukan. Bawalah pelajar merasai sendiri menginap di kolej kediaman universiti, merasai pengalaman berada dalam dewan kuliah universiti, melihat sendiri keindahan yang ada di universiti. Sekali gus dapat menaikkan motivasi mereka untuk lebih berusaha mencapai kecemerlangan.



     Baiklah itu sahaja coretan ringkas saya pada kali ini. Saya sebenarnya tak tahu nak tulis apa. Selamat berpuasa kepada semua. InshaaAllah jika ada cerita yang menarik atau pendapat yang saya ingin saya kongsi, saya akan kongsikan.

Tuesday, June 07, 2016

Kepuasan Dalam Diri Saya yang Sangat Berharga

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Kita sebagai seorang manusia, sudah pasti kita ingin mencapai sesuatu kepuasan dalam diri kita. Maksudnya di sini ialah dalam apa jua yang kita lakukan, kita pasti ingin mencapai sesuatu yang kita inginkan berdasarkan apa yang kita lakukan berulang kali.

     Mungkin anda semua keliru. Takpa.. Saya bagi contoh mudah, sebagai mahasiswa di universiti sudah tentu kita sibuk dengan berbagai-bagai aktiviti di luar dewan kuliah seperti program-program anjuran fakulti, kolej kediaman dan persatuan. Antara objektif utama mahasiswa menyertai pelbagai jenis aktiviti di universiti adalah seperti ingin meningkatkan ‘softskill’, ingin mendapatkan pengalaman baru, dan ada juga yang ingin kekal berada di kolej kediaman. Ini antara objektif utama mahasiswa.



     Dalam setiap objektif itu, kita sebagai manusia pasti ada satu kepuasan yang ingin mereka capai berdasarkan apa yang mereka lakukan. Kadang-kadang kita terfikir, kenapa individu A suka menjalankan program bersifat kesukarelawan, kenapa individu B suka menjalankan program bersifat kesukanan, mengapa individu C suka menjalankan program bersifat kemotivasian. Saya yakin dan pasti pembaca blog ini pasti mempunyai sesuatu kepuasan yang ingin anda semua capai. Malah dalam kerjaya pun ada sesuatu yang ingin dicapai. Seperti kenaikan pangkat menjadi pengurus ke, mendapat gaji mencecah 5k ke, dan berbagai-bagai lagi.

     Sebenarnya bukan saya nak cerita pasal kepuasan diri seseorang. Tetapi saya nak cerita mengenai kepuasan diri saya sendiri sebagai seorang mahasiswa. Dahulu, saya selalu tertanya-tanya pada diri saya apa sebenarnya yang saya inginkan dalam hidup saya. Saya selalu tertanya-tanya dalam apa jua yang saya lakukan apa yang saya inginkan sebenarnya. Dahulu saya menjadi seorang pengawas, menjadi seorang perwakilan pelajar Pra Universiti, menyertai program itu program ini tetapi saya sendiri tak pasti apa benda yang saya nak capai.

     Namun begitu, setelah saya menjadi mahasiswa di Universiti Kebangsaan Malaysia, saya sudah jumpa apa yang membuatkan saya puas. Jika dahulu saya menjadi pengawas, tetapi saya stress kerana menjadi seorang pengawas hanya untuk mendapatkan markah kokurikulum yang tinggi, saya menyertai pelbagai program pun hanya sebab nak dapatkan pengalaman atau lebih kepada ikut-ikut kawan. Kini, ada satu program atau aktiviti yang membuatkan saya berasa puas dan akan terus melakukan program yang sama di masa akan datang dan akan terus berkecimpung dalam program yang sama dan akan menjadikan ia sebagai satu kerjaya masa depan.

 Jelajah Kampus Permata Jauhar SK Lanchang, Temerloh, Pahang.

     YA! Program motivasi pelajar. Kenapa saya suka menjalankan program ini? Apa kepuasan yang saya dapat hinggakan saya ingin terus berkecimpung dalam program seperti ini? Apa dia? Mungkin orang akan bertanya soalan-soalan seperti ini.

     Jawapannya mudah sahaja. Jawapannya ialah berbalik kepada diri saya sendiri. Saya suka berjumpa dengan para pelajar. Saya suka bersama dengan para pelajar. Saya suka memberikan sesuatu yang dapat memberi impak kepada para pelajar. Saya suka berkongsi pengalaman kepada para pelajar. Dan apabila selesai program bersama pelajar, saya akan merasa sesuatu kepuasan yang saya sendiri tidak dapat gambarkan dengan kata-kata. Kiranya kepuasan macam kita dapat pakai kereta BMW secara percuma. 

     Saya sudah berprogram dengan pelajar sekolah rendah dan pelajar Pra Universiti. Cuma saya belum berkesempatan untuk menjalankan program bersama pelajar sekolah menengah. Mungkin pada masa akan datang saya akan bersama dengan pelajar sekolah menengah pula. Pengalaman mengendalikan pelajar sekolah rendah dan Pra Universiti memang tidak dinafikan jauh perbezaannya. Cabarannya juga berbeza. Tetapi jika kita minat, walau apa jua keadaan sekalipun ia tetap akan mematahkan semangat kita.

 Jelajah Kampus Permata Jauhar Pra U SMK Pasir Gudang 2, Johor.

     Oleh itu, kita sebagai seorang manusia perlu mencari apa yang membuatkan diri kita puas dalam menjalankan sesuatu perkara. Daripada situ kita akan jumpa kebolehan diri kita. Kadangkala kita selalu tertanya-tanya apa kebolehan diri kita. Maka, cara untuk kita kenal dan cipta kebolehan diri kita ialah menerusi program yang yang kita jalankan ataupun sertai.

     Ada orang mendapat kepuasan bukan daripada program atau aktiviti. Ada orang masuk debat dia puas, ada orang masuk pidato dia puas, ada orang berasa puas dapat membaiki kenderaan. Banyak cara sebenarnya untuk kita mendapatkan kepuasan dalam diri kita. Cuma kita mahu atau tidak mahu sahaja mencari kepuasan itu. Dan jika kita malas, maka sia-sialah kehidupan kita di muka bumi ini. Percayalah, apabila kita berasa puas dalam perkara yang kita lakukan, kita mungkin akan jadikan perkara yang buat kita puas itu sebagai kerjaya masa hadapan kita. 

     Akhir kata, terokailah pelbagai benda yang boleh kita ceburi sebagai manusia. Apabila kita banyak meneroka, kita akan jumpa satu benda yang akan membuatkan kita puas. Dan kepuasan itu sukar untuk kita jelaskan dengan kata-kata. Carilah kepuasan diri anda. Manisnya kepuasan itu anda sendiri yang akan rasa.

Sunday, April 03, 2016

Jangan Jadikan "cita-cita" hanya sekadar "angan-angan".

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Bertemu lagi kita setelah beberapa bulan tidak menulis blog. Macam biasalah kekangan masa. Kadang-kadang masa itu ada tetapi mood nak menulis blog tu kurang. Followers pun menurun secara agak drastik. Mungkin mereka beranggapan bahawa saya tidak lagi berada dalam dunia penulisan blog.



     Cita-cita. Semua orang ada cita-cita. Tetapi persoalannya adakah cita-cita itu tercapai? Adakah cita-cita itu menjadi kenyataan? Adakah ia sekadar angan-angan? Itu yang menjadi persoalan yang bermain di minda remaja, pelajar, mahasiswa. Cerita mengenai cita-cita ni panjang sebenarnya. Susah nak habis. Sebabnya cita-cita setiap orang berbeza. Ada yang tinggi melangit, ada yang rendah sangat, ada yang asal boleh capai sahaja. Berbagai-bagai jenis.

     Bila sudah adanya cita-cita dalam diri, maka sudah tentu dalam pelajaran dah 'aim' nak pelajari jurusan apa. Kalau nak jadi doktor, sudah tentu mahirkan subjek sains dan matematik dan belajar lebih dalam lagi bagi subjek tersebut. Kalau nak jadi akauntan, mesti mahirkan subjek matematik, prinsip perakaunan. Contoh lain fikir sendirilah yee.. Sebenarnya bukan ini yang saya nak cerita.

     Yang saya nak cerita kat sini ialah cita-cita itu sendiri. Adakah ia cita-cita atau angan-angan? Masa sekolah senang nak cakap saya nak jadi doktor, saya nak jadi akauntan, saya nak jadi saintis. Memang mudah nak cakap. Tapi itu bukan cita-cita sebenarnya. Itu angan-angan. Sebab apa saya kata angan-angan? Sebab kita bercakap sebab kita minat benda tu. Bila kita minat, kita nak jadi seperti itu. Macam juga kanak-kanak yang suka gila tengok anime Naruto Shippuden, suka pulak dekat si Naruto tu, dan dia pun berangan nak jadi macam Naruto. Itu angan-angan namanya.

     Habis cita-cita tu apa pulak? Bukan ke cita-cita tu berasal daripada angan-angan ke? Yes! Cita-cita berasal daripada angan-angan. Kita berangan nak jadi guru. Sebab kita tengok tugas guru sangat menyeronokkan. Pahala berpanjangan. Kita berusaha untuk menjadi guru. SPM dapat 10A, kemudian sambung matrik ke Pra Universiti ke ataupun Institut Perguruan ke. Lepas tu sambung degree pendidikan. Kita usaha sebegitu sebab nak jadi guru. Itu namanya cita-cita. Angan-angan yang diselarikan dengan usaha. 



     Kadang-kadang anak muda sekarang ni kelakar. Dia nak jadi jurutera misal kata. Tapi ponteng kelas. Result cukup-cukup makan. Lepas tu Matematik tambahan hancur lebur. Tapi nak jadi jurutera. Macam mana? Itu yang dinamakan angan tak sudah. Belajar malas ada hati nak jadi jurutera. Itu bahasa kasarnyela..

     Tetapi ramai pelajar yang dahulunya mempunyai cita-cita yang tinggi, tetapi lepas dapat keputusan SPM, cita-cita asal dia dah lari. Sudah tentu lepas SPM sambung belajar. Mereka akan cenderung memilih kursus yang orang kata 'asal dapat kerja'. Mana cita-cita awak dahulu? Ini yang menjadi dilema pelajar sebenarnya. Lepas SPM, mesti cita-cita dah semakin dilupakan. Tidak semua tetapi ramai. Jangan kata lepas SPM, lepasan STPM, matrikulasi, asasi tidak terkecuali. 

     Ada lagi 1 kumpulan pelajar, dia tak tahu apa cita-cita dia. Masa kecil nak jadi macam-macam. Tetapi lepas habis SPM, tak tahu dia nak jadi apa untuk teruskan kehidupan. Bagi kes macam ni, pelajar perlu kembali kepada minat mereka. Apa yang mereka minat dan apa yang mereka cenderung. Mereka kena tahu apa yang mereka minat. Barulah cita-cita itu boleh muncul.



     Saya nak berkongsi cerita mengenai diri saya secara ringkas. Masa kecil-kecil dahulu saya nak jadi saintislah, doktor gigilah. macam-macam. Masuk sekolah menengah nak jadi gurulah pensyarahlah, doktor pakar tulanglah. Lepas SPM, keputusan boleh koyak je sijil tu, saya dah tak tahu nak jadi apa. Sebab apa? Sebab saya tak pandai. Saya masuk Pra Universiti ambil STPM. Saya masih tak tahu nak jadi apa. Tetapi masa belajar, saya menjadi presiden MPP. Saya kerap memberi nasihat dan teguran kepada pelajar. Dari situ saya timbul minat untuk bercakap di hadapan khalayak. Kemudian saya berminat nak tahu mengenai tingkah laku, pemikiran remaja. Dan minat saya ke arah bidang psikologi.

     Habis STPM, saya pernah dijemput pihak sekolah untuk memberi sedikit kata-kata rangsangan kepada pelajar. Saya sangat suka nak bagi suntikan semangat kepada pelajar. Maka timbullah cita-cita saya yang sekarang ini ingin menjadi perunding motivasi. Maka kini saya belajar psikologi untuk memahami manusia dan belajar untuk kaitkan dan aplikasikan dalam bidang kemotivasian. Kita nak motivasikan manusia, kena kenal manusia terlebih dahulu. Kini, saya telah selesai beberapa program bersama pelajar sekolah dan ada lagi beberapa program bersama mereka dan saya akan terus melibatkan diri dalam program bersama pelajar sekolah sebagai latihan saya. 



     Kesimpulannya, jangan jadikan cita-cita kita itu sebagai angan-angan. Seeloknya kenal diri kita dahulu. Tahu kebolehan dan minat kita dahulu. Daripada aspek itu maka timbullah cita-cita kita apa yang kita nak buat sebagai kerjaya. Bila kita kenal diri kita, tahu minat kita apa semua, kita akan nampak lorong untuk kita capai cita-cita itu. Mudah-mudahan apa yang kita impikan tidak hanya sekadar angan-angan.

p/s : Jika ada yang nak tanya, boleh hubungi saya di facebook http://www.facebook.com/hafizaiman95. Mungkin penulisan saya kurang jelas bagi sesetengah orang. Sebab saya bukanlah penulis. Yang mana boleh saya bantu, saya cuba bantu.