Sebarang pertanyaan lanjut sila hubungi saya di laman facebook 'Hafiz Aiman' atau cari 'hafizaiman95'. Kadangkala saya tidak mengemaskini blog dalam jangka masa yang lama.

Monday, October 26, 2015

Vape... Keperluan, Gaya atau Nafsu?

Assalamualaikum semua. Apa khabar? Dah baca saya punya cerpen bagi entri saya yang sebelum ini? Menarik atau tidak? Cerpen itu cetusan daripada idea saya sendiri kerana saya nak cuba untuk mengarang sebuah cerita pendek. Manalah tau suatu hari nanti buat novel pula. Ok cukup sampai situ. Hari ini saya nak berkongsi pendapat mengenai vapor atau bahasa mudahnya vape. Saya rasa semua sedia maklum apa benda vape ni. 

     Sebelum cerita lebih lanjut, saya nak bagi sedikit definisi berdasarkan pandangan saya berkenaan vape ni. Saya tak pasti nama sebenar dia. Vape ni merupakan suatu alat alternatif yang lebih kurang sama seperti rokok tetapi mempunyai berbagai perisa berdasarkan vape punya isian semula. Alatan yang digunakan tidak seperti rokok biasa kerana ia merupakan alatan elektronik. Alatannya kita panggil 'tank' kalau tak salah saya. Mungkin lebih kurang macam shisha la juga. Saya tahu definisi saya mungkin kurang tepat tetapi harap maksudnya sampai.
     Kembali kepada topik asal. Vape ni sebenarnya keperluan ke, gaya ke, atau nafsu? Berdasarkan pemerhatian saya, penggunaan vape ni bergantung kepada individu. Saya bukan nak menyokong penggunaan vape atau membantah penggunaannya. Bukan juga nak kata bahaya atau tidak sebab pasti ramai yang kata benda ni lebih selamat berbanding rokok. Tetapi saya melihat daripada situasi masa kini. Apa yang dapat saya lihat, penggunaannya cukup meluas sehinggakan ada yang berhabis duit semata-mata untuk memiliki 'tank' vape itu sendiri. 

     Saya ada sahabat baik yang menggunakan vape. Dia dahulu merupakan seorang perokok. Dia berkata kepada saya vape ni merupakan salah satu teknik untuk berhenti merokok. Hal ini kerana pengguna vape nak main dengan asap atau lebih tepat wap air yang dihembus keluar daripada mulut mereka. Apabila saya perhatikan, memang benar sahabat saya itu sejak menggunakan vape, dia tidak mengambil rokok. Dia juga berkata secara sedikit demi sedikit dia juga akan berhenti menggunakan vape. Jadi, mungkin bagi situasi sahabat saya ini dia menggunakan vape sebagai suatu teknik untuk berhenti merokok. 

     Lihat pula pada individu yang berbeza. Mereka mengunakan vape tetapi masih mengambil rokok. Selepas merokok barulah mereka menggunakan vape ataupun sebaliknya. Di sini sudah timbul satu persoalan. Untuk apa mereka mengunakan vape itu kerana mereka merokok dan vape pada masa yang sama terutamanya selepas makan. Adakah kerana rokok untuk melepaskan gian mereka dan vape untuk penyedap mulut mereka. Itu saya tak pasti. Namun, untuk situasi ini masih dianggap biasa kerana hanya mereka yang tahu apa tujuan mereka menggunakan vape ini. Kalau ikut pendapat saya, mungkin boleh dikategorikan sebagai nafsu mereka yang ingin mencuba sesuatu yang baru selain daripada rokok.

     Seperti yang kita semua sedia maklum, bukan semua individu itu merokok. Tetapi mengapa penggunaan vape ni begitu meluas sehinggakan individu bukan perokok juga menggunakan vape? Apa fungsinya sebenarnya? Adakah ia gaya masa kini? Mereka menggunakan vape umpama menghisap rokok cuma baunya yang tidak sebusuk rokok. Bagi mereka penggunaan vape itu selamat dan tidak memudaratkan kesihatan. Sekiranya ada orang yang berkata vape memudaratkan kesihatan, pasti ada yang melenting. Adakah penggunaan vape ini merupakan satu trend masa kini?

     Paling hebat, perempuan juga ramai menggunakan vape. Apa yang saya tahu, majoriti daripada perempuan sangat tidak suka rokok. Tetapi kenapa ada sesetengah yang menggunakan vape? Ada yang berkata vape bukan rokok. Vape wangi rokok busuk. Macam-macam jawapan yang boleh kita dengar. Tapi bagi saya, perempuan menggunakan benda-benda ni semua dilihat kurang sopan. Sedangkan lelaki yang menggunakan secara keterlaluan pun orang tak suka, apa lagi perempuan? Mungkin ada yang akan berkata "lelaki boleh tak kan perempuan tak boleh?, atau ayat-ayat lain untuk defend diri mereka. Kalau ada yang tanya saya begitu, simple je saya nak cakap walaupun menyakitkan hati sikit, "lelaki boleh tak pakai baju, kenapa perempuan tak boleh?". Maaf agak keterlaluan tetapi itulah dia. 

     Jadi, untuk apa sebenarnya vape ini? Mungkin ada individu mengatakan ianya keperluan, ada pula berkata ingin mencuba benda baru, ada yang kata gaya atau trend. Untuk dua sebab tadi saya tak nak ulas lebih lanjut lagi. Tetapi persoalan utama di sini ialah gaya atau trend. Sebenarnya saya tak rasa penggunaannya merupakan suatu trend. Membazir tu betul. Bagaimana daripada seorang yang tidak merokok, boleh menggunakan vape? Apa tujuannya? Adakah penggunaan vape mampu memikat hati boyfriend atau girlfriend? Adakah penggunaan vape mampu memperoleh keputusan cemerlang? Adakah penggunaan vape mampu untuk menghilangkan tekanan? Tetapi kenapa tak hilangkan tekanan dengan melakukan perkara lain seperti tengok movie ke tidur ke baca al-Quran ke. 



     Jawapan yang tepat ada dalam diri sesiapa yang menggunakan vape. Saya menulis entri ini kerana saya melihat penggunaannya sangat meluas sehinggakan yang tidak merokok pun menggunakan benda ni. Tetapi saya tidak mengecam siapa yang menggunakannya. Terpulang kepada individu itu sendiri sama ada untuk menggunakannya atau tidak. Cuma satu perkara yang kita kena fikir, kita sanggup berhabis duit untuk perkara-perkara yang tidak penting tetapi untuk perkara mustahak, merungut tak tentu pasal. Kemudian kalau nak kata ikut gaya atau trend masa kini, kenapa perlu meniru cara barat? Ini renungan kepada siapa yang tak merokok tetapi menggunakan vape. Bagi dua kategori lain tadi tak perlulah saya mengulas panjang kerana mereka ada jawapan mereka sendiri. 

     Sebagai penutup, tepuk dada, tanya hati. Untuk apa tujuan asal menggunakan vape ini. Jika ia merupakan suatu teknik berhenti merokok, teruskan tetapi sikit demi sikit bolehlah berhenti menggunakannya. Jika kerana nafsu, terpulanglah sebab ia diri kamu sendiri. Jika kerana gaya, saya sarankan awak semua hentikan. Bagi saya tidak beri sebarang manfaat pun selain daripada kehilangan wang ringgit dan menjadi cemuhan masyarakat sekeliling. Saya mohon maaf andai entri ini sedikit mengguris hati sesetengah pihak tetapi ini pandangan saya. Mungkin ada pandangan yang berbeza mengenai vape ini. 

p/s : Sebarang pandangan dan pendapat boleh dikemukakan di ruangan komen..

No comments:

Post a Comment

Mohon jasa baik semua pembaca untuk memberikan komen terhadap entri ini..